Sunday, April 13, 2008

Projek PLPT Brickendonbury dibatalkan







Projek PLPT Brickendonbury dibatalkan




Kementerian Belia dan Sukan tidak akan meneruskan projek pembinaan Pusat Latihan Prestasi Tinggi (PLPT) di Brickendonbury, seperti yang dirancang sebelum ini sebagai pusat untuk melatih dan persiapan atlet bagi menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London. Menterinya Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat pascakabinet kementerian semalam dan mendapat persetujuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Sukan. "Seperti yang diketahui sebelum ini, permohonan kita untuk membina Puast Latihan Prestasi Tinggi di Brickedonbury telahpun ditolak oleh Majlis Jawatankuasa Kawalan Pembangunan Timur Herts. Pihak kementerian boleh membuat rayuan dan membuat permohonan baru (kepada majlis itu). "Tetapi selepas mengkajinya dari beberapa sudut serta melihat dan mendengar pandangan semua pihak, akhirnya kementerian membuat keputusan untuk membatalkan terus projek. Maka, kita tidak akan merayu dan memohon semula (untuk melaksanakan projek itu)," katanya pada persidangan akhbar di Putrajaya Khamis. Isu PLPT melibatkan kepentingan negara apabila Majlis Jawatankuasa Kawalan Pembangunan Timur Herts menolak permohonan Malaysia untuk menaik taraf Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, Britain kepada Pusat Latihan Prestasi Tinggi. TARRC adalah milik Lembaga Getah Malaysia yang terletak di kawasan seluas 6.475 hektar (16 ekar) di Brickendonbury, Hertfort, di Utara London dan kira-kira 24km dari tapak Perkampungan Sukan Olimpik London 2012. "Saya membuat keputusan itu berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh Majlis Herts sendiri. Saya rasa kalau kita merayu pun, mereka akan memberi keputusan yang sama. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang telah dibuat. Proses rayuan itu mungkin akan melibatkan lebih banyak kos," kata Ismail Sabri. Kawasan TARRC terletak dalam Kawasan Hijau daerah itu dan sebarang projek pembinaan tidak akan dibenarkan kerana bimbang akan merosakkan ekosistem kawasan persekitarannya. Bernama melaporkan menyentuh mengenai jumlah perbelanjaan yang telah digunakan pentadbiran kementerian sebelum ini untuk projek pembinaan PLPT itu, Ismail Sabri berkata beliau masih mengkajinya. "Saya sedang mengkajinya, Saya tidak menafikan memang ada perbelanjaan yang dikeluarkan...dari segi kos untuk menggaji perunding, perbelanjaan penerbangan dan sebagainya. Tugas saya ialah sama ada meneruskan atau tidak projek itu dan keputusan telah dibuat, kita tidak akan meneruskannya," katanya. Beliau berkata sebagai alternatif kepada projek pembinaan PLPT di Brickendonbury itu, kementerian merancang menghantar atlet menjalani latihan di negara yang bersesuaian dengan jenis sukan tertentu. Antara negara yang dicadangkan adalah Australia, China, Korea Selatan dan Jerman. Ismail Sabri berkata sebagai contoh bagi sukan gimnastik, atlet mungkin dihantar untuk menjalani latihan di Romania atau Rusia. "Kita akan berbincang dengan beberapa negara untuk meneruskan program untuk menghantar atletatlet kita mendapat latihan di sana," katanya. Katanya selain menjalani latihan, atlet juga dibenarkan menyertai mana-mana kejohanan di negara itu dalam usaha menggilap dan meningkatkan prestasi mereka. Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan beliau tidak mahu atlet menggunakan peluang berlatih di luar negara untuk melancong tetapi memanfaatkannya untuk meningkatkan prestasi.
dipetik dari Agendadaily.com

No comments: