Monday, May 26, 2008

Sejarah Bolasepak


Menurut FIFA, permainan-permainan yang mempunyai ciri-ciri bola sepak telah wujud di negeri China sejak abad ke-3 S.M. Berbagai-bagai jenis permainan bola juga telah diperkenalkan pada Zaman Pertengahan Eropah.

Pada abad ke-19, permainan bola di sekolah-sekolah United Kingdom (yang mempunyai cara permainan yang berbeza mengikut sekolah) menjadi lebih popular. Lantaran itu, cara permainannya juga lebih teratur. Undang-undang awal diperkenalkan bagi menyeragamkan cara permainan yang berbeza-beza itu dan memudahkan pemain-pemain. Persatuan Bola Sepak England (The Football Association) telah ditubuhkan pada 1863 oleh beberapa kelab bola sepak. Persatuan ini berjaya menggubal undang-undang formal bola sepak yang pertama di dunia. Undang-undang ini kemudian berkembang menjadi Undang-undang Bola Sepak hari ini.

Kini, urusan Undang-undang Bola Sepak dikendalikan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (International Football Association Board). Lembaga ini ditubuhkan pada 1886 dan mempunyai lapan ahli – empat wakil FIFA, empat wakil persatuan bola sepak England, Scotland, Wales dan Ireland Utara. Segala pemindaan Undang-undang Bola Sepak perlu diluluskan oleh Lembaga melalui undian majoriti.

Populariti bola sepak telah meningkat terutamanya pada abad ke-20. Kini, bola sepak menjadi satu industri yang lumayan melalui pendapatan hak siaran televisyen dan penjualan tiket di stadium-stadium. Permainan ini dimainkan pada peringkat professional level di seluruh dunia. Berjuta-juta peminat biasanya pergi ke stadium bola sepak untuk mengikut pasukan pilihan mereka, manakala berbilion-bilion pula melihat perlawanan bola sepak di televisyen. Sebilangan besar pemain juga bermain bola sepak pada peringkat amatur.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Fédération Internationale de Football Association (FIFA), badan pentadbir bola sepak, yang diterbitkan dalam musim bunga 2001, lebih daripada 240 juta orang biasanya bermain bola sepak dalam lebih daripada 200 negara di seluruh pelusuk dunia. Peraturannya yang mudah dan memerlukan peralatan yang minimum tidak syak lagi menolong penyebaran dan tumbesaran dalam popularitinya.

Banyak pihak dalam dunia bola sepak membangkitkan keinginan yang sangat memainkan peranan yang penting dalam kehidupan individu samada peminat, komuniti tempatan, malah negara; oleh itu ia merupakan sukan yang sangat popular di dunia. Oleh kerana itu ia selalunya digelar sebagai Pilihan Kenangan Dunia Lalu.

Wednesday, May 7, 2008

Selamat Hari Jadi, Dinamik!!

Ingin dimaklumkan di sini bahawa Kelab Sukan Kecergasan Dinamik telah didaftar secara rasmi dengan penerimaan sijil pendaftaran daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Dikesempatan ini, pihak jawatankuasa tertinggi KSKD ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada sesiapa yang terlibat.

Namun, ini baru permulaan...kerana lebih banyak yang akan kita tempuh selepas ini....

Buat semua, biarlah kita bermula dengan "nothing" tapi kita sasar untuk jadi "something".....

Semua orang mempunyai cita-cita...tapi biar ia dilaksana dengan betul dan ikhlas....

Ingat, KSKD mempunyai cita-cita tersendiri untuk menjadi kelab yang disegani pada satu hari nanti..InsyaAllah...

Semoga apa yang kita impikan bakal jadi kenyataan.....

Monday, May 5, 2008

Aerofithon uji tahap kecergasan

Oleh: NOOR FAZRINA KAMAL

NOOR Sheena Maideen bersama poster Kejohanan Aerofit anjuran WSFFM yang bakal berlangsung Mei depan.
BAYANGKAN anda mengorak langkah senaman diiringi muzik rancak dalam masa dua jam tanpa henti. Bukan berseorangan, tapi berkumpulan yang akan diketuai oleh enam orang jurulatih berkelayakan yang akan bergilir-gilir membentuk koreografi menarik yang mudah diikuti. Menarik bukan?
Mungkin sukar untuk kita membayangkan bagaimana ia direalisasikan, hakikatnya ini adalah satu istilah baru dalam dunia senaman aerobik, iaitu Aerofithon.
Aerofithon julung kali diperkenalkan sebagai salah satu acara dalam pertandingan berprestij Aerofit anjuran Yayasan Wanita dan Kecergasan Malaysia (WSFFM) tahun ini.
Kejohanan Aerofit kini memasuki tahun keempat selepas kali pertama diadakan pada tahun 2003.
Pengerusi Kejohanan Aerofit 2008, Datin Noor Sheena Maideen berkata, pertandingan itu diperkenalkan bagi memberi peluang kepada warga Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang tidak mempunyai asas dalam aerobik untuk mencuba bertanding di dalam satu kejohanan berprestij.
“Ia diperkenalkan sebagai salah satu acara baru dalam Kejohanan Aerofit sebagai penggalak untuk warga Malaysia tidak mengira umur dan jantina untuk sama-sama merasai pengalaman berharga.
“Pada masa sama mereka boleh memenangi hadiah lumayan sekiranya kumpulan mereka berjaya mengikuti aksi jurulatih koreografi selama dua jam berturut-turut dengan stamina yang baik,” jelas beliau ketika ditemui di studio aerobiknya yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Noor Sheena berkata, tahun ini selain acara baru Aerofithon diperkenalkan, Penaung WSFFM, Datuk Seri Azalina Othman Said, juga telah bersetuju menambah jumlah wang tunai bagi setiap kategori pemenang dalam pertandingan aerofit yang dijangka bakal berlangsung pada 11 Mei nanti.
“Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM7,000, bagi hadiah utama, di samping hadiah iringan lain, trofi serta sijil. Berbanding RM5,000 pada tahun-tahun sebelumnya.
“Selain hadiah, para peserta juga berpeluang untuk berkongsi pengalaman menarik dalam acara yang sungguh sihat, bertenaga serta menghiburkan,” tambah beliau.
Penganjuran Aerofit kali ini juga bakal melihatkan pengadilan dilakukan oleh 18 orang juri tempatan dan antarabangsa.
Setiap peserta diadili menerusi koreografi, ketajaman pergerakan, skil dan pergerakan wajib.
“Kami membuka penyertaan Aerofithon dalam kumpulan yang boleh dianggotai oleh enam hingga lapan sekumpulan. Untuk Aerofit pula minimum tiga hingga lima orang sekumpulan,” ujar beliau lagi.
Kejohanan yang diadakan di Stadium Melawati pada 11 Mei ini akan bermula seawal pukul 7 pagi dan dijangka berakhir pada pukul 6 petang. Penyertaan dibuka kepada semua warga Malaysia berusia 16 tahun ke bawah dengan syarat asas iaitu sihat tubuh badan.
“Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan kejohanan ini kerana kami juga menyediakan persembahan tarian hip hop, tarian singa, Bollywood masala dan cheer leader sebagai acara selingan,” katanya.
Beberapa pondok jualan disertai oleh pelbagai syarikat turut mengadakan pameran serta jualan ala karnival di perkarangan stadium.
Pemeriksaan kesihatan, kekuatan tulang, tekanan darah dan denyutan jantung turut diberikan secara percuma kepada orang ramai yang hadir.
“Selain pameran dan pemeriksaan percuma, orang ramai juga berpeluang mengambil bahagian dalam cabutan bertuah yang menawarkan 10 utas jam tangan berharga RM450 setiap satu tajaan MIO, kain dari Maya, barangan kecantikan, kesihatan dan puluhan hamper dari penaja yang mengambil bahagian,” ujar beliau.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 24 Mac, bagi yang berminat boleh melayari laman web www.wsffm.com atau hubungi Nery 016-6843715 atau Yan 012-6252679 atau e-mel: admin@wsffm.com